edge
 
Bahasa: melayuenglish    Saiz Huruf: reduce reset font increase rssrss
edge
   

BERITA SEMASA
Semua Koleksi

Pelajar perlu berani menerokai bidang baharu: Abg Johari
13 September 2018

MIRI: Pelajar di Sarawak perlu melihat ke hadapan dan berani untuk mengambil bidang baharu dalam pendidikan untuk perkembangan yang lebih maju dalam landskap ekonomi global.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, pelajar seharusnya berani mencuba bidang pengajian strategik yang bukan sahaja merangkumi teknologi, malah berhubung kait kehendak pasaran dunia.

 Abang Johari (berdiri tujuh kanan, baris kedua) bersama tetamu kehormat lain merakam kenangan bersama penerima pada Majlis Penyampaian Hadiah Cemerlang Yayasan Sarawak Bahagian Miri 2018 di Curtin Malaysia, Miri, semalam.

CEMERLANG: Abang Johari (berdiri tujuh kanan, baris kedua) bersama tetamu kehormat lain merakam kenangan bersama penerima pada Majlis Penyampaian Hadiah Cemerlang Yayasan Sarawak Bahagian Miri 2018 di Curtin Malaysia, Miri, semalam.

Seperti di Sarawak sendiri, kita memerlukan lebih ramai pakar dalam pelbagai bidang termasuk bidang teknologi yang memerlukan pengatur cara atau penganalisis data dalam kita memperkembang ekonomi dan meningkatkan pengeluaran sumber kita di sini.

Bukan kursus atau bidang lain tidak relevan, tetapi galakkan pelajar kita agar berani menceburi bidang lain sebagai tambahan kepada kursus seperti kejuruteraan, seni, perubatan dan undang-undang, jelasnya.

Abang Johari berkata demikian pada Majlis Penyampaian Hadiah Cemerlang Yayasan Sarawak Bahagian Miri 2018 di Curtin Malaysia di sini, petang semalam.

Malah, beliau turut menyarankan ibu bapa agar menggalakkan anak-anak mereka mempelajari bidang baharu untuk memastikan mereka bukan sahaja menjadi graduan yang berkualiti tetapi memenuhi kehendak pasaran.

Kerajaan Sarawak melalui Yayasan Sarawak jelas Abang Johari, giat melabur dana untuk memberi biasiswa dan pinjaman kepada anak-anak Sarawak bagi mencapai usaha terbabit.

Menurut beliau yang juga pengerusi Yayasan Sarawak, pihaknya juga telah menghantar 931 pelajar ke Curtin Malaysia sejak penubuhannya dan akan terus berbuat demikian.

Curtin Malaysia adalah antara institusi yang Yayasan Sarawak laburkan dana untuk membantu anak-anak Sarawak mendapatkan pendidikan sedemikian.

Kadar penolakan untuk Yayasan Sarawak juga sangat rendah di mana jika pelajar mempunyai keputusan yang cemerlang, mereka akan mendapat biasiswa dan jika tidak, pelajar akan mendapat pinjaman daripada Yayasan Sarawak.

Sekiranya pelajar tidak mendapat pinjaman Perbadanaan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Yayasan Sarawak akan cuba membantu dan memberi pinjaman kepada pelajar yang melanjutkan pelajaran mereka ke peringkat lebih tinggi. Ini adalah komitmen Kerajaan Sarawak melalui Yayasan Sarawak, tambahnya.

Tambah Abang Johari, komitmen sedemikian adalah untuk melahirkan pelajar yang kreatif dan inovatif dan berharap suatu masa nanti, Sarawak mampu menjadi seperti Estonia, negara Eropah Timur yang kecil namun 100 peratus berteknologi digital.

Cara hidup di negara terbabit yang menjadi contoh untuk masa depan dan kita mahu Sarawak juga setanding negara lain yang maju menerusi digital, tambahnya.

Terdahulu, Pengarah Yayasan Sarawak Azmi Bujang berkata, sejumlah 136 pelajar daripada 18 sekolah menengah di bahagian Miri menerima Sijil Pelajar Cemerlang Yayasan Sarawak berserta Sijil Simpanan Premium (SSP) Bank Simpanan Nasional (BSN).

Jelasnya, pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menerima SSP bernilai RM500 dan RM700 bagi pelajar Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

Daripada jumlah pelajar berkenaan, 126 adalah pelajar SPM manakala 10 pelajar STPM.

Pada majlis berkenaan, Yayasan Sarawak turut menyampaikan sumbangan geran kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) untuk lima sekolah di Miri.

Sekolah terbabit masing-masing menerima geran bernilai RM10,000 iaitu SMK Luar Bandar Miri, SMK Merbau, SMK Luak, SMK Long Lama Baram dan SMK Bekenu.

Hadir sama pada majlis petang semalam ialah Pro Canselor Curtin Malaysia Datuk Patinggi Tan Sri Dr George Chan, Pro Naib Canselor, Presiden dan Ketua Eksekutif Curtin Malaysia Profesor Jim Mienczakowski, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Transformasi Prestasi dan Penyampaian Perkhidmatan) Datu Dr Sabariah Putit, Pemangku Pengarah Jabatan Pendidikan Sarawak Abang Mat Ali Abang Masagus, Ahli Parlimen Sibuti Lukanisman Awang Sauni, ADUN Piasau Datuk Sebastian Ting, ADUN Telang Usan Dennis Ngau, ADUN Lambir Ripin Lamat serta tetamu kehormat.  

  •  oleh 
  • Source : Utusan Borneo Online

     
    Bahasa Malaysia English


     

    Web Mudah Alih Yayasan Sarawak

    aplikasi talikhidmat QR code

    additional

    iso
    yes
       
             
             
       
    Laman Utama | Hubungi Kami | Peta Laman
    < Balik     ^ Ke Atas
       
     
    Copyright & Disclaimer | Privacy Policy | Terms & Conditions | Site Requirements

    © Yayasan Sarawak

    Yayasan Sarawak, Wisma Adenan,
    Jalan Sultan Tengah, Petra Jaya, 93050 Kuching, Sarawak, MALAYSIA.
     
    Kemaskini Terakhir: 14 September 2018 11:32:19
    65893128 since 6 Jun 2009

    Projek Gemilang   star